All News

KOMPaS PENCETUS MOTIVASI REMAJA

 

KOMPaS PENCETUS MOTIVASI REMAJA

“Kita mahu lahirkan generasi masa depan Malaysia yang sejahtera dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual, serta mempunyai daya juang tinggi dalam mendepani cabaran hidup yang mencabar“, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD), Dr. Yatela Zainal Abidin,  di majlis penutup Program Jalinan Harapan Permata KOMPaS (Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses) baru-baru ini. Beliau juga menyampaikan hasrat untuk melihat murid yang terlibat di dalam program ini akan berjaya dalam kehidupan masing-masing selepas tamat persekolahan. 

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, turut memberikan sokongan dan memberi motivasi kepada peserta program melalui ucapan pada hari pertama program. Beliau berucap,  “Jangan jadikan situasi kemiskinan sebagai alasan untuk tidak berjaya, malah ramai insan yang berjaya pada hari ini juga berasal dari keluarga susah kerana mereka tidak pernah mengalah atau berputus asa untuk mengubah nasib diri dan keluarga. Kita perlu percaya bahawa kita semua boleh mengubah nasib keluarga”. 

Kata-kata ucapan ini memberi makna yang mendalam kepada murid kerana ada yang mengalirkan air mata apabila mendengar pengalaman kehidupan beliay semasa muda yang yang berasal dari keluarga yang susah. Beliau juga menitipkan pesanan agar semua pihak terlibat dapat mengangkat murid ‘permata’ Kedah ini menjadi kebanggaan ibubapa dan masyarakat. 

Program yang berjalan selama tiga hari dua malam di Universiti Utara Malaysia ini melibatkan 180 murid Tingkatan 4 dari enam sekolah dari tiga daerah di Kedah iaitu  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Puteri dan SMK Jerai di Daerah Baling, SMK Tunku Seri Indera Putera dan SMK Ayer Hitam di daerah Kubang Pasu serta SMK Kelibang dan SMK Ayer Hangat dari daerah Langkawi.

Program Jalinan Harapan Permata KOMPaS yang mendapat sokongan dan tajaan dari Kerajaan Negeri Kedah, Yayasan Sime Darby (YSD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah ini turut melibatkan 17 guru pembimbing, 40 pelajar UUM sebagai fasilitator dan 21 penyelidik dari UUM. 

Beberapa aktiviti dan program menarik telah dijalankan sepanjang program seperti “Inteam dan Believe in Me” untuk membina hubungan di kalangan murid, “Who Am I” untuk lebih mengenali keadaan diri sendiri, dan “STEM Exploration” bagi menyelami dan menerokai dunia STEM dengan melihat sendiri percetakan 3D yang boleh dihasilkan.

Selain itu, semua pelajar turut mengambil bahagian untuk menyelesaikan misteri dan teka-teki berkaitan subjek sekolah melalui aktiviti “Explorace” di samping “Ganbatte”, permainan riadah petang yang banyak memupuk semangat kerjasama dan semangat tidak mudah putus asa dalam setiap kumpulan murid.

Program KOMPaS ini merupakan satu daripada aktiviti mendampingi masyarakat sekolah daripada penyelidikan pelbagai disiplin yang melibatkan kerjasama tiga pusat pengajian UUM iaitu Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) yang diketuai oleh Prof Dr. Rosna Awang Hashim, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof. Dr. Norhafezah Yusof dan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC), Puan Noraziah Che Pa. 

Penyelidikan KOMPaS menumpukan murid Permata KOMPaS, di mana dengan pengesanan awal serta intervensi yang sewajarnya, akan menghasilkan peneraju dan bakat berharga kepada komuniti setempat dan juga negara pada masa akan datang. 

Rosna berharap kesemua murid yang terlibat telah memperoleh sesuatu yang bermakna semasa menjalani program ini dan dapat membina dan menyuntik semangat untuk terus aktif di sekolah dan tamat dengan jayanya, serta dapat meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi setelah tamat persekolahan, dan seterusnya menjadi insan yang bermanfaat kepada keluarga dan masyarakat. 

Beliau turut menekankan moto “No pain, No gain” yang memerlukan usaha gigih serta doa yang berterusan untuk terus berjaya dalam kehidupan. Murid diseru muhasabah diri dan menghargai harapan ibubapa dan guru yang melihat potensi mereka untuk berjaya pada masa hadapan. 

Program KOMPaS mempraktikkan model quad-helix gandingan universiti, komuniti, kerajaan serta industri dalam pembangunan bakat negara.