All News

PENSYARAH SAMBILAN MANTAPKAN ILMU

 

PENSYARAH SAMBILAN MANTAPKAN ILMU

 

UUM ONLINE: Majlis Perjumpaan Naib Canselor Bersama Pensyarah Sambilan Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Kursus Kepimpinan Akademik berlangsung di Dewan SEML, tengah hari tadi. 

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pensyarah sambilan merupakan keluarga besar UUM yang menjadi sebahagian cerita kegemilangan UUM dan akan terus dikenang generasi akan datang.

“Puluhan tahun pengalaman anda perlu dikongsi bersama dan saya percaya pada pengalaman untuk menjadikan anak didik kita berjaya, jadi terus kembangkan apa yang kita ada sehingga menjadi kekuatan.

“Jangan ajar teori semata-mata binalah jiwa tanpa rasa lelah pasti tuhan akan memberi segala pertolongan serta mengangkat segala apa yang diimpikan. Kita tidak punya banyak masa, ini hanya sebuah persinggahan jadi rebutlah peluang pahala berganda-ganda,” ucapnya.

Selain itu katanya, melalui  kursus ini, peserta dapat mengetahui aspek pelaksanaan tugas sebagai pensyarah universiti bagi memastikan mutu dan kualiti perkhidmatan akan sentiasa ditambah baik.

"Saya berharap sahabat dapat memberi jiwa dan menjadi guru yang mendidik anak-anak di bilik darjah di samping menyantuni masyarakat dan dekat di hati kerana sumbangan yang diberikan.

“Sentuhan kita adalah luar biasa kerana kita membuat kerja Rasulullah dalam mendidik generasi dan saya menyeru untuk membantu UUM dengan sepenuh hati dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan justeru sama-samalah berusaha memberikan yang terbaik untuk negara," katanya.

Sementara itu, Nazir Kanan, Jemaah Nazir Negeri Kedah, Dr. Zulfikri Ab Talib menyifatkan program ini sangat bermanfaat kepada pensyarah sambilan (PS) untuk menyumbang ilmu dalam bidang pendidikan di UUM.

“PS juga dapat merasai situasi sebenar mengajar di IPT khususnya di UUM ini antaranya memberi pendedahan dan pengalaman mengajar, memberi sumbangan dan menjadi tenaga pengajar di UUM dalam menyampaikan ilmu selaras dengan kehendak dasar Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Inisiatif ini dapat menjalin hubungan yang baik dengan pihak UUM dan bekerjasama khususnya di SOE dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia.

Selain itu katanya, pesanan yang diberikan ini juga secara tidak langsung memberi motivasi dan terus membakar semangat beliau dan rakan-rakan untuk terus berusaha memberikan jasa bakti dan berjasa kepada universiti ini.

Manakala Guru dari SMK Jerai, Dr. Saharah Abdullah berkata tugas sebagai pendidik merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan sebaik-baiknya dan dilunaskan dengan efektif untuk melahirkan generasi cemerlang yang tinggi akal budi . 

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SOE kerana memberikan peluang untuk guru kelulusan PhD menghadiri kursus ini.

“Kami sangat bersyukur atas peluang yang diberikan kerana kami dapat menimba ilmu diberi layanan yang sangat baik. Kami jugak dapat tahu cara Kolaborasi dengan pensyarah UUM dan cara publish paper,” kongsinya.