All News

SELANGKAH KE UNIVERSITI – SMK AYER PUTEH DALAM, PENDANG KEDAH

Pic SMK Ayer Puteh Dalam

Selangkah ke Universiti merupakan program yang menggamit 40 pelajar  Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh Dalam, Pendang (SMKAPD) Kedah ke UUM pada 14 September 2023. 

Usaha murni Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) UUM ternyata membakar semangat pelajar yang melangkah dengan penuh keazaman diselit keseronokan menuruni bas menuju ke Welcome Centre.

Dalam pada menghirup udara pagi yang segar  di kawasan  Rehat & Rawat ( R& R) UUM sebagai destinasi pertama, para guru dan pelajar memberi  tumpuan  khusus  mengenai Discover UUM yang dikongsi bersama  Penolong Pegawai Tadbir Welcome Centre, Abdul Amar Aris.

Welcome  Centre yang berfungsi sebagai gerbang informasi UUM menoktahkan pelbagai keraguan dan persoalan dalam minda pelajar  yang ingin tahu berkenaan UUM mencakupi fasiliti, program yang ditawarkan, perpustakaan, jumlah pelajar tempatan dan antarabangsa  aktiviti  serta kemudahan di Inasis.

Selain itu,  pendedahan mengenai gaya hidup atau campus life melalui gambar  aktiviti  yang dipamerkan di rumah tengah  Welcome Centre menyemarakkan lagi tekad mereka untuk mengatur langkah  jitu hingga mencapai matlamat yang dituju.

“Terima kasih menerima kunjungan daripada SMK Ayer Puteh Dalam".

"Sambutan yang amat baik. Semoga ukhuwah terjalin dapat diteruskan pada masa akan datang".

"Terbaik UUM”, kata guru pengiring, Nurul Farehah.

Thanks for having us and Congratulations”,  tambah rakannya Siti Noralmi.

Pengetua SMKAPD, Nasitah turut merakamkan Terima Kasih kepada semua pihak yang menjayakan program SMKAPD sejurus selepas beliau  menerima sijil Discover UUM tanda penghargaan. Seterusnya beliau bersama guru pengiring serta  pelajar melakarkan sejarah dengan gambar kenangan di Welcome Centre sebelum mengikuti aktiviti yang telah direncanakan dalam kampus di rumba hijau.

Hadir  sama, pensyarah kanan dan staf pentadbiran SOE.